a sekali tidak bermakna anda perlu
membeli rumah tersebut walau dengan apa cara sekalipun! Bertenang. Sabar
dahulu. Jual beli rumah bukanlah semudah itu. Sebelum itu, elok baca
dahulu apakah aspek-aspek pembelian rumah yang wajib diberi perhatian
ini sebelum membuat sebarang keputusan.
Apa saja yang anda baca di dalam artikel
ini bukanlah sesuatu yang baru. Anda sudah pernah mendengarnya sebelum
ini. Hanya kadang-kadang kita terlupa. Mungkin juga tidak faham. Atau
penghayatan sebelum ini tidak penuh.
Saya sedaya-upaya akan
cuba berkongsi apakah aspek yang perlu diberi perhatian sewajarnya
sewaktu berkira-kira membeli mana-mana rumah. Walaupun saya memiliki
rangkaian hartanah (beberapa bidang tanah) tapi saya bukanlah datang
daripada industri hartanah. Saya juga bukan ejen perumahan. Hari ini
kita hanya berkongsi petua-petua pembelian rumah secara bijak sahaja.
Melalui kacamata seorang pembeli seperti anda juga.
Pertama sekali, jangan beli apa-apa jua
rumah hanya kerana anda sukakannya. Jangan dan jangan. Kenapa? Sekiranya
membeli sesebuah rumah kerana cinta dan pesona, anda akan menjadi buta.
Anda akan mengenepikan banyak aspek dan tidak mengendahkan masalah yang
bakal dialami kelak. Anda tidak pedulikan apa-apa lagi asalkan berhasil
memiliki rumah idaman tersebut. Pilih dan belilah rumah dengan penuh
kesedaran dan berteraskan tanggungjawab. Ingat selalu bahawa anda
membelinya sebagai satu keperluan dan bukan kerana terpegun dengan
rekabentuk, landskap dan hiasan dalamannya yang mengagumkan (sudah tentu
ini juga dalam pertimbangan). Ini menjadikan anda lebih rasional dan
mengambilkira kesemua faktor lain yang terlibat.
Antara aspek yang perlu diperhatikan sebelum membeli sesebuah rumah:
• lokasi
• jaringan pengangkutan
• kemudahan asas
• tempat kerja
• latarbelakang pemaju
• jaringan pengangkutan
• kemudahan asas
• tempat kerja
• latarbelakang pemaju
Lokasi. Inilah aspek
yang paling ajaib. Lokasi rumah yang baik dan lokasi rumah yang buruk.
Lokasi yang baik terletak di tempat yang strategik. Berita yang tidak
berapa bagus untuk kita dengari ialah ia menjadi rebutan ramai. Harganya
sudah pasti tinggi menggunung. Lokasi yang buruk terletak di kawasan
yang kurang menarik. Walaupun harganya rendah tapi sangat sukar mencari
pembeli sekiranya bercadang menjual atau menyewakan kelak. Tambah lagi
jika anda membeli rumah sebagai satu alat pelaburan. Kemungkinan anda
akan terpaksa menjual pada harga rendah dan mengalami kerugian. Ini
telah menyekat kuasa wang anda.
Jaringan pengangkutan
juga harus diambilkira sebelum membuat keputusan membeli rumah.
Sebaiknya rumah tersebut boleh dihubungi melalui pelbagai cara.
Jalanraya, lebuhraya dan pengangkutan awam. Ini satu kelebihan besar.
Mengurangkan risiko sekiranya anda menghadapi apa-apa kesulitan.
Kebakaran, jatuh sakit, bersalin, kecurian dan banyak lagi. Semakin
mudah dihubungi, semakin baik. Anda faham maksud saya.
Sepanjang kehidupan yang dilalui, apakah
perkara yang menjadi rutin harian? Anda akan menghantar anak-anak ke
sekolah, pergi bekerja, membeli barang keperluan harian dan menunaikan
kewajipan agama masing-masing. Inilah rutin. Tidakkah membebankan jika
kita melalui kesemua ini setiap hari dangan melalui jarak yang berbatu
jauhnya? Sepatutnya kita mengambilkira kemudahan asas
ini semasa membeli rumah. Pastikan rumah yang bakal anda diami itu
berdekatan dengan kemudahan asas seperti sekolah, pusat membeli belah,
balai polis, surau dan lain-lain. Paling tidak pun sebahagian daripada
kemudahan itu.
Pernahkan anda memikirkan kenapa lokasi
sesebuah tempat itu lebih berharga dan menjadi idaman ramai? Apa yang
istimewanya di sana? Pada kebiasaan, lokasi seperti itu terletak di
kawasan bandar atau pusat bandar. Manusia berasak-asak ke sana. Bandar
menawarkan peluang pekerjaan yang banyak. Dimana ada gula, di situ ada
semut. Saya rasa rumah anda kini pasti terletak berhampiran tempat kerja
bukan? Kalau masih menyewa kini dan belum berumahtangga,
pastikan tempat anda bakal berpindah kerja kelak sudah anda masukkan di
dalam pertimbangan memilih rumah. Ia menjadi satu kelebihan dari segi
kos pengangkutan dan tol.
Jika anda membeli rumah melalui pemaju, pilihlah pemaju perumahan
yang betul. Mempunyai rekod yang baik sebelum ini. Jangan tidak percaya
jika saya katakan ada pembeli rumah yang tidak pernah ambil tahu dari
mana mereka membeli rumah. Pada satu hari, seorang ejen yang ramah, baik
hati, berbual secara lemah lembut dengan senyuman manis muncul. Mereka
hanya mendengar huraian ejen mengenai betapa bagus dan sesuainya lokasi
tersebut. Ditunjukkan gambar dan pelan yang mereka sendiri tidak begitu
faham. Dikhabarkan dengan pelbagai kemudahan tambahan, khidmat guaman
percuma, bantuan mendapatkan pembiayaan dan mereka lantas bersetuju
membeli. Ramai yang melakukan kesilapan seperti ini.
Sudah tentu kebanyakan pemaju perumahan
baik dan jujur. Tapi penjahat ada dimana-mana. Projek perumahan
terbengkalai. Kalau siap pun, rupa-rupanya anda terbeli rumah yang
berkualiti rendah dengan harga yang mahal atau lewat disiapkan daripada
perjanjian asal. Ini tentu satu kerugian dari segi masa dan lebih-lebih
lagi wang. Anda harus selalu berhati-hati dan jangan malas melakukan
kajian. Tanyalah mereka yang berkenaan. Pembeli rumah terdahulu
misalnya, dan jangan lupa melihat projek perumahan mereka yang sudah
disiapkan. Bagaimana prestasi pemaju pilihan anda itu? Kalau semuanya
elok maka anda tidak perlu gusar lagi.
Rumah yang selesa, cantik, terletak di
kejiranan yang aman, lokasi yang strategik dan dilengkapi pelbagai
kemudahan sudah tentu menjadi impian semua. Seperti selalu, yang terbaik
biasanya bernilai tinggi. Jadi tidak semua akan mampu memilikinya. Di
sebalik berebut-rebut bersama mereka yang lain (yang lebih kemampuan
dari segi kewangan itu), anda juga masih boleh mendapat yang terbaik
untuk keluarga. Asalkan anda tahu faktor-faktor kritikal pembelian
rumah yang harus diberikan perhatian di atas.
Membeli rumah melibatkan kos yang besar.
Bagi sebahagian orang inilah pembelian terbesar mereka seumur hidup.
Jadi kenapa tidak meluangkan masa yang secukupnya. Melihat, mengkaji,
meneliti, membanding dan mempertimbangkan kesemua aspek tadi. Kita tidak
mahu terbeli rumah yang salah daripada penjual rumah yang tidak jujur
atau membeli rumah yang tidak menepati keperluan.
Sebagai bacaan tambahan, sila rujuk artikel kami yang menerangkan secara ringkas bagaimana untuk mengira kelayakan pinjaman perumahan dengan tepat ini. Diharapkan kedua-dua perkongsian ini dapat membantu anda memilih rumah yang sesuai dari semua aspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan