Selasa, 7 Februari 2012


Posted: 21 Nov 2011 04:51 AM PST
KEPADA pembaca setia blog ini, ada pengumuman kecil yang ingin saya beritahu. Bermula daripada artikel ini – kenapa emas begitu berharga (iya.. artikel yang sedang anda baca ini). Saya akan membuat satu kategori baharu yang dipanggil ‘Siri Pelaburan Emas’. Di dalam kategori baharu ini, saya akan menulis beberapa rangkaian artikel yang berkisar dengan jenis, kaedah dan cara melabur di dalam komoditi unggul – emas. Khusus untuk rujukan anda. Kenapa saya membuat kategori baharu ini?
Kenapa Emas Begitu Berharga?
Pembaca yang budiman, kita tidak perlu menjadi sorang pakar kewangan yang handal untuk meramalkan bahawa emas akan menjadi antara pilihan paling utama para pelabur dalam tahun 2012 di samping perak, minyak dan hartanah. Pelbagai tanda yang jelas sudah kelihatan sejak kebelakangan ini.
Jadi ayuh kita mulakan pengisian kategori baharu ini dengan menyelidiki dahulu kenapa emas begitu berharga dan sentiasa berbaloi untuk dimiliki sejak zaman berzaman..
Kerap kali kita mendengar betapa emas merupakan suatu instrumen pelaburan yang baik. Orang di sini sana memperkatakan kebaikan emas dan bagaimana mereka menggalakkan orang ramai melabur di dalam emas. Tetapi sebagai seorang pelabur yang bijak, kita tidak mahu mengikut secara membuta-tuli sahaja.
Ingat prinsip pelaburan ini – jika semua orang membeli, anda menjual. Bukanlah bermaksud kita tidak perlu mengikut perkembangan semasa tetapi makna tersirat di sebaliknya ialah lakukan sesuatu yang berlainan daripada orang ramai. Dalam kes emas sebagai alat pelaburan ini, bukan kita tidak mahu melabur tetapi kena kaji dahulu kenapa emas dan apa kelebihan emas?
Faktor yang menjadikan emas begitu berharga dan menjadi alat pelaburan yang baik saya terangkan di bawah:
1. Pelindung kekayaan
Nilai emas sebenarnya tidak naik tetapi ia meningkat sejajar dengan kenaikan inflasi. Jika anda ada 1 gram emas berharga RM500 pada tahun 2011, ia tetap 1 gram emas pada tahun 2012. Cuma nilai inflasi yang meningkat akan menyebabkannya bernilai RM700 pada tahun 2012! Itu sahaja. Maknanya wang yang anda simpan dalam bentuk emas akan menjadi kalis inflasi. Dalam analogi yang paling mudah untuk difahami – wang anda telah disimpan di dalam kapsul masa (emas).
2. Simbol kekayaan
Sejak 6 000 tahun dahulu, emas dijadikan pilihan manusia sebagai simbol kekayaan. Ini semenjak tamadun Mesir kuno lagi. Pada masa itu, sesiapa yang memiliki banyak emas dianggap kaya dan berkuasa. Dan ia masih lagi begitu pada hari ini!
3. Harga emas sentiasa naik
Hal ini tidak dapat dinafikan. Seperti mana aset pelaburan yang lain, harga emas boleh naik dan turun tetapi jika dilihat pada jangkamasa panjang didapati harga emas sentiasa naik. Berdasarkan analisis ringkas untuk sepanjang 10 tahun lepas (2001-2010), purata kenaikan harga emas adalah lebih kurang 24%-27% setahun. Tidak banyak pelaburan yang mampu memberikan pulangan seperti ini.
4. Kejatuhan nilai matawang
Wang kertas yang anda pegang hari ini bukanlah wang. Itu adalah matawang – tidak mempunyai nilai hanya berdasarkan janji kerajaan pemerintah sahaja. Masalah dengan matawang ialah nilainya sentiasa jatuh pada setiap masa menuju ke nilai ‘kosong’. Konsep ini agak sukar untuk diterangkan kerana ia memerlukan gaya pemikiran baharu terhadap wang. Cukuplah saya katakan nilai matawang sentiasa dimakan inflasi dan ini memang tidak baik untuk kita semua.
5. Penyimpan nilai
Kontra dengan poin di nombor 4 di atas, emas menyimpan nilai. Nilainya tidak akan pernah jatuh apalagi hilang. Ia akan sentiasa mengekalkan nilainya. Dan seperti yang anda tahu, antara definisi wang adalah bertindak sebagai penyimpan nilai. Jika berdasarkan ini, bolehlah kita simpulkan bahawa emas adalah wang.
6. Tidak boleh dimanipulasi
Inilah poin yang paling saya sukai. Malah mungkin merupakan kelebihan emas yang terbaik sekali. Emas tidak boleh dicipta, tidak seperti matawang yang bebas dicetak sesuka hati. Sukar diperolehi dan kuantitinya tidak boleh ditambah. Inilah yang menjadikan emas amat bernilai dan boleh dijadikan sandaran kewangan.
7. Aset yang Amat istimewa
Ketika perang tercetus di sesebuah negara, nilai matawang negara tersebut akan jatuh merudum dan menjadi tidak bernilai lagi. Rakyat akan mencari perlindungan daripada negara-negara jiran untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Cuba teka aset yang mana satukah di bawah paling bermanfaat dalam situasi seperti ini?
Pilih satu daripada pilihan berikut;
a. matawang
b. saham dan unit amanah
c. rumah
d. kenderaan
e. emas
Matawang sudah tiada nilai, pasaran saham dan unit amanah runtuh, rumah tidak boleh dibawa pindah ke luar negara dan kenderaan mungkin hancur oleh pihak musush.
Iya.. Hanya beberapa syiling atau beberapa jongkong emas dalam simpanan anda itu yang akan membantu anda memulakan kehidupan baharu di negara lain. Ianya ringan dibawa lari dan mudah pula dicairkan walau dimana jua anda berada di seluruh dunia. Harganya standard di seluruh pelusuk dunia. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, nyawa amat bergantung kepada aset yang dipanggil emas pada saat-saat genting seperti itu.
Emas memang sungguh istimewa.

Tiada ulasan: