Selasa, 14 Februari 2012


10 Tips Buat Para Ibu Bapa Kukuhkan Akidah Anak


Anak perlukan didikan agama sempurna. Foto: Lensahasrul
As-Salam.
Apa perasan anda bila anak anda lebih peka soal agama ... lebih arif tentang halal dan haram? Apa yang anda akan buat bila anak anda menegur anda tentang solat? Tidakkah anda rasa segan bila anak anda lebih dahulu menunaikan sholat dari anda? 

Impian tiap ibu bapa inginkan anak yang taat, baik serta bijak. Malah semua inginkan anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Namun, dalam keinginan tersebut, kadangkala ibu bapa lupa bahawa untuk mendidik mereka menjadi seperti itu ... haruslah kita juga seperti itu. Dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan segala pendidikan dalam pembentukan peribadi mulia itu dapat diperolehi oleh anak-anak. Jangan setakat mengharapkan guru di sekolah atau ustazah yang mengajarkan ilmu agama.

Saya juga tak terkecuali dari menjadi ibu bapa yang kadangkala lalai dan lupa. Bukan mudah mendidik anak untuk menjadi sehebat para Nabi mahupun para Sahabat Nabi, namun tanpa usaha ... impian itu mungkin sukar untuk dicapai.

Entri kali ini nak bawakan tips bagaimana nak memantapkan ilmu di dada anak-anak; terutama mengenai akidah. Tentu sekali kita sebagai ibu bapa tidak mahu anak-anak kita nanti hanyut tanpa berpendayung apabila kita tidak lagi berada di sisi mereka untuk membantu.

10 Tips Memantapkan Ilmu Akidah Anak
  1. Ibu bapa sebagai role model - Ibu bapa merupakan role model yang paling berkesan untuk anak-anak. Segala apa yang mereka lakukan akan dilihat dan diikuti oleh anak-anak. Oleh itu, setiap ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik dari segi akidah mereka terlebih dahulu. Ibu bapa yang tidak mementingkan persoalan ini boleh menjadikan anak-anak hilang pedoman. Merekalah yang akan menentukan arah mana yang akan menjadi ikutan anak-anak.
  2. Pendidik tidak formal - Selain menjadi role model bagi membentuk akidah, ibu bapa juga bertindak sebagai pendidik secara tidak formal. Pendekatan secara nyata dan tersurat boleh digunakan dalam pendidikan akidah. Misalnya, memperkenalkan cerita-cerita para Rasul dan orang-orang soleh untuk kanak-kanak. Begitu juga dengan cara mendedahkan anak-anak kepada al-Quran atau tulisan jawi. Dengan ini pegangan agama dan akidah tersemat erat dalam diri kanak-kanak. Mereka boleh menghubungkan segala aspek kehidupan dengan pegangan akidah.
  3. Pendorong anak-anak - Ibu bapa juga boleh bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak. Mereka boleh menguatkan pegangan akidah dengan menyediakan segala kemudahan pembelajaran. Begitu juga mereka boleh menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak-anak dengan mewujudkan suasana mesra di dalam rumah. Ibu bapa juga merupakan penghalang utama kepada pengaruh negatif yang mungkin menyerang kanak-kanak daripada pelbagai sudut seperti bahan bacaan, hiburan dan keadaan sekeliling.
  4. Penyampai ilmu - Di samping itu, ibu bapa bertindak sebagai penyampai maklumat atau ilmu. Ini kerana, ibu bapa merupakan orang pertama yang dikenali oleh kanak-kanak. Mereka hendaklah menyampai maklumat sepenuhnya tentang Islam terutama berkenaan akidah keimanan dan tatacara kehidupan seorang Muslim. Jika mereka gagal menyampaikan ilmu, nasib anak-anak akan terbiar. Mereka menjadi jahil kerana sikap ibu bapa yang tidak mengambil peduli pada penyampaian ilmu. Ini penting kerana ilmu berkaitan akidah dan sebagainya dipindahkan menerusi cara perkhabaran, terutamanya pada peringkat kanak-kanak.
  5. Pendidikan kolektif - Kanak-kanak juga perlu mendapat pendidikan secara kolektif di rumah. Antaranya solat berjemaah, membaca al-Quran, makan bersama, lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang ada hubungan dengan Islam, perbincangan atau sambutan hari kebesaran Islam. Salah satu amalan yang boleh dilakukan oleh pihak keluarga dan sekolah untuk kanak-kanak adalah solat jemaah.
  6. Membaca al-Quran - Selain itu, pihak ibu bapa dan sekolah juga perlu memperuntukkan masa untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak. Di rumah, ibu ataupun bapa boleh mengajar anak-anak dengan al-Quran. Ia boleh dimulakan dengan mengajar buku Iqra’ atau lain-lain buku permulaan bagi membolehkan kanak-kanak mengenal dan kemudiannya dapat membaca al-Quran dengan lancar.
  7. Makan bersama - Anak-anak juga perlu dididik dengan amalan makan bersama ahli-ahli keluarga. Di samping menikmati hidangan bersama, ibu bapa boleh menggunakan kesempatan memberi nasihat sambil berbual-bual. Antara perkara yang boleh dijelaskan adalah ilmu berkaitan halal haram sesuatu makanan dan minuman. Ibu bapa boleh menjelaskan sebab-sebab ia diharamkan.
  8. Lawatan ke tempat bersejarah - Satu lagi aktiviti yang boleh dijalankan oleh ibu bapa ialah lawatan ke tempat bersejarah. Hal ini bertepatan dengan ajaran al-Quran yang menganjurkan umatnya mengembara ke merata tempat bagi mengambil pengajaran dan menambah pengalaman hidup. Anak-anak tidak sepatutnya dibiarkan terperap di dalam rumah sehingga membantutkan akal dan pemikiran mereka. Kata orang, banyak berjalan banyak pengalaman. Oleh kerana lawatan sebegini memerlukan perbelanjaan dan juga masa, ia perlu dirancang terlebih awal begitu juga dengan pengisiannya.
  9. Berbincanglah - Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk berbincang dengan anak-anak dan berusaha mewujudkan suasana perbincangan dalam keluarga. Pendekatan sebegini akan memudahkan kanak-kanak meluahkan masalah yang mereka hadapi.
  10. Sambutan hari besar - Meraikan sambutan hari-hari penting dalam kalendar Islam seperti Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban, permulaan puasa bulan Ramadan, tahun baru Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya boleh mengeratkan hubungan anak-anak dengan Islam. Ia juga boleh membentuk jati diri anak-anak apabila kuatnya tautan mereka dengan ajaran agama.

Begitulah sedikit sebanyak tips yang ingin saya kongsi bersama dengan para ibubapa dan bakal menjadi ibubapa. Saya juga sedang cuba belajar untuk mendidik anak-anak saya semana termampu. Mari sama-sama membentuk generasi yang kukuh pegangan akidahnya. 

Sumber: Forum Mesra.Net


1 ulasan:

Admin berkata...

As-Salam.
Nak ambil artikel ini boleh, tapi harapnya dapatlah berikan backlinks kepada www.hasrulhassan.com

Sebijik2 ambik ni ...