Kaedah Rawatan Hernia
Namun, ia tidak kelihatan seolah-olah bersembunyi dan menghilangkan dirinya apabila anda berbaring mahupun terjaga dari tidur pada waktu pagi keesokan harinya.
Lazimnya, ia tidak mendatangkan apa-apa kesakitan, cuma rasa agak kurang selesa, malah ada benjolan yang masuk semula dengan sendirinya.
Kenali Hernia
Hernia atau dalam bahasa Latinnya, herniae, membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Dinding abdomen yang lemah itu kemudiannya membentuk suatu kantong dengan bukaan berbentuk seperti cincin. Gangguan ini sering terjadi di kawasan perut dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini.
Hernia merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum Adam – sehingga 10 kali ganda berbanding wanita. Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih sinonim sebagai angin pasang, burut, uluran, bodek atau turun beruk.
Benjolan pada abdomen akan mengganggu penderitanya bergantung kepada besar benjolan. Biasanya, keadaan penyakit akan bertambah parah akibat daripada aktiviti-aktiviti seperti membuang air besar, batuk ataupun ketika mengangkat bebanan yang berat yang memberikan tekanan pada rongga abdomen yang lemah seperti pada daerah trigonom hekselba, femoralis, dan anulus internus.
Adakah Hernia Merupakan Penyakit Keturunan?
Hernia bukanlah penyakit turunan. Proses terjadinya Hernia pada bayi berbeza dengan Hernia pada orang dewasa yang biasanya terjadi kerana kelemahan otot dinding perut.
Faktor terjadi Hernia
Pertama, adanya otot dinding rongga, misalnya perut, yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga perut meningkat. Biasanya, Hernia pada orang dewasa terjadi pada usia lanjut, kerana pada usia tersebut, otot dinding rongga perut melemah.
Sejajar dengan bertambahnya umur, organ dan jaringan tubuh mengalami proses degenerasi. Bagi wanita, kegemukan juga dapat memungkinkan timbulnya daerah yang lemah. Keadaan-keadaan itu, jika ditambah dengan faktor kedua tadi, dapat mengakibatkan usus terdorong ke dalam “daerah perbatasan” yang lemah tersebut dan menonjol ke luar.
Jenis Hernia
Internal Hernia :
Berada dalam tubuh dan tidak boleh dilihat secara mata kasar. Contoh bagi Hernia jenis ini ialah Diafragmatic Hernia yang terjadi akibat adanya celah di diafragma (otot pemisah antara bahagian perut dengan dada) kerana pembentukan diafragma yang tidak sempurna. Contoh lainnya adalah Hiatal Hernia esofagus, terjadi melalui celah masuknya esofagus yang masuk dari rongga dada, serta banyak lagi jenis lainnya.
External Hernia :
Dari jenis hernia ini yang paling sering dijumpai adalah Hernia Inquinal yang muncul di lipat paha dan Umbilical Hernia yang muncul di daerah pusat. Bayi umumnya mengalami External Hernia yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Tahap-tahap Hernia:
Reponible:
Benjolan di daerah lipat paha atau umbilikus tampak keluar masuk (kadang-kadang terlihat menonjol, kadang-kadang tidak). Benjolan ini membezakan Hernia dari tumor yang umumnya tidak berubah-ubah. Ini adalah tanda yang paling sederhana dan ringan yang boleh dilihat dari External Hernia.
Irreponible:
Benjolan yang ada tidak bergerak atau berada dalam satu kedudukan sahaja, baik di lipat paha maupun di daerah pusat. Pada Inguinal Hernia misalnya, air, usus atau omentum (penggantungan usus) masuk ke dalam rongga yang terbuka kemudian tersepit dan tidak boleh keluar lagi.
Incarcerata:
Pada peringkat ini, sumbatan pada saluran makanan sudah terjadi di bahagian benjolan.
Strangulata:
Hernia pada peringkat ini dilihat berada di dalam situasi parah dengan pembuluh darah yang sudah tersepit. Selain benjolan dan gejala-gelaja seperti mual dan muntah, tidak lalu makan, perut kembung dan tidak boleh buang air besar, gejala lain juga muncul, seperti demam dan dehidrasi. Jika tidak diambil langkah sewajarnya, pembuluh darah di daerah tersebut akan mati dan akan terjadi penimbunan racun yang kemudian akan menyebar ke pembuluh darah. Akibatnya, terjadi sepsis iaitu kuman dan toksin berkumpul di dalam darah sekaligus mengancam nyawa.
Ada kalanya, usus yang tersumbat di dalam rongga boleh mengalami gangren apabila bekalan darah berkurangan dan tiada bekalan oksigen. Ia boleh berlaku hanya dalam masa beberapa jam. Apabila usus mengalami gangren, ia boleh reput dan boleh membahayakan pesakit. Pesakit biasanya datang dengan gejala perut buncit dan kembung, bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan, kulit bahagian terbabit juga kemerah-merahan dan sakit, selain muntah-muntah. Dalam keadaan ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang mengalami gangren. Usus yang tertinggal akan disambung semula. Jika pesakit datang ke hospital pada masa yang awal, besar kemungkinan usus tersepit boleh dipulangkan ke tempat asal dalam perut tanpa mengeluarkannya.
Kaedah Rawatan
Terdapat dua kaedah pembedahan untuk merawat Hernia dengan yang bersaiz kecil di bawah lima sm, torehan kecil dibuat di bawah pusat dan Sarang Hernia dibuang dan ditutup dengan beberapa jahitan di kawasan Linea Alba mengunakan benang yang tidak reput. Bagi Hernia bersaiz besar, mesh’ (jaringan) diperlukan dan ia akan diletak di bawah kawasan lubang Hernia sebelum ditutup dengan jahitan. Pembedahan ini dilakukan dengan pesakit dibius keseluruhan dan proses pemulihan berlaku dengan cepat, membolehkan melakukan aktiviti normal selepas dua minggu.
Selain pembedahan konvensional, kini terdapat terapi yang tidak invasif tanpa memerlukan torehan yang besar menggunakan teknik laparoskopik. Sebanyak tiga torehan kecil sepanjang antara lima hingga 10 milimeter akan dilakukan. Oleh kerana itu, rawatan ini memerlukan kepakaran yang amat tinggi. Luka yang kecil ini juga memungkinkan penyembuhan yang lebih cepat. Paling penting, risiko hernia berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik berbanding pembedahan konvensional.
Kelebihan pembedahan laparoskopik, pesakit mengalami kesakitan yang amat kurang manakala risiko jangkitan kuman juga rendah. Pesakit juga sudah boleh bergerak dari katil dalam tempoh beberapa jam selepas pembedahan dan kembali melakukan rutin harian lebih cepat. Pesakit Hernia yang selamat dibedah boleh mengalami kes berulang dalam masa beberapa bulan ke setahun.
Bagaimanapun, apabila Hernia berulang setelah dua tahun atau lebih, kelemahan yang berlaku mungkin telah berkembang kepada Incarcerata atau tercekik.
Pencegahan Hernia Daripada Berulang
Untuk mencegahnya daripada berulang, pesakit perlu menghindari perkara-perkara yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, berhenti merokok dan jika sukar membuang air, segera berubat dan elakkan meneran selain melakukan kerja-kerja yang lebih ringan dan menurunkan berat badan.
Jangan mengurut Hernia kerana ia adalah sangat berbahaya. Tekanan ke atas Hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah, boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan