Khamis, 16 Februari 2012



warna Psikologi Warna Dalam Hiasan Dalaman
Warna adalah komponen penting dalam dunia hiasan dalaman. Bila memilih warna untuk rumah anda, secara semulajadinya, anda akan tertarik dan menyukai warna tertentu disebabkan bagaimana warna tersebut memberi kesan terhadap perasaan anda. Warna juga telah terbukti menghasilkan respon secara fizikal. Jadi, pertimbangkanlah psikologi warna semasa anda merancang skema warna untuk mana-mana ruang di dalam rumah anda. Maklumat ini mungkin ia dapat membantu anda memperoleh mood yang diingini.
BIRU, warna langit dan lautan, terkenal sebagai “warna kegemaran”. Biru mencerminkan kepercayaan, tidak bergantung, dan komited. Ia sangat popular untuk bilik tidur, dan selalu digunakan untuk dekorasi pejabat. Banyak bilik tidur berwarna biru kerana warnanya tenang dan nyaman. Biru juga menggambarkan keamanan, kesejahteraan, dan selamat. Apa yang menarik untuk catatan anda, secara global warna biru ialah warna yang paling selamat digunakan. Biru mudah untuk dipadankan dengan banyak warna, dan sebab itulah skema warna biru selalu dipilih. Biru juga dikenali sebagai warna ‘bersih’. Jadi ia sangat sesuai untuk bilik air dan ruang mencuci pakaian. Tetapi, penggunaan biru untuk bahagian dapur agak kurang berkesan.
KUNING menyerlahkan suasana tawa riang, kegembiraan, dan hari-hari indah. Seseorang yang dikelilingi warna kuning akan merasa lebih optimis. Tetapi berhati-hatilah dengan warna ini, jika tonanya keterlaluan. Kerana kuning lebih terserlah berbanding warna lain di sekelilingnya. Ia lebih mudah menyebabkan keletihan mata berbanding warna-warna lain. Kuning juga warna api dan kajian menunjukkan bayi mudah menangis di dalam bilik berwarna kuning terang.
HIJAU bermaksud semulajadi, subur, sihat dan muda. Dengan keseimbangan antara warna warna ‘sejuk’ dan ‘hangat’ (biru dan kuning), kehijauan semulajadi ini memperlihatkan rasa segar dan nyaman. Ciri semulajadi yang dimiliki juga membolehkan hijau sangat mudah dipadankan dengan warna lain. Ia selalu digunakan dalam hiasan untuk mendatangkan kesan nyaman. Hijau juga dikaitkan dengan iri hati, tuah, dan murah rezeki. Dan secara tradisi, dikenali sebagai warna keamanan.
MERAH ialah warna paling ‘hangat’ dan bertenaga dalam spektrum warna. Merah digunakan untuk merangsang badan dan fikiran, serta memperbaiki peredarannya. Jika anda ingin menarik perhatian seseorang, gunakanlah merah. Pastinya merah tidak sesuai untuk bilik si manja anda, tetapi sangat berkesan untuk membuat orang tertarik. Walaupun ia bukanlah pilihan untuk persekitaran yang tenang, merah kerap digunakan di ruang makan untuk merancakkan sesi borak sembang dan menambah daya tarikan di situ. Anda tidak digalakkan menggunakan merah secara keterlaluan, lebih baik dengan jumlah yang sedikit pada tempat yang sesuai. Merah juga boleh menampilkan ciri elegan dan menambah banyak karakter pada skema warna – sama ada tradisional mahu pun kontemporari.
UNGU dikatakan eksotik, kerana jarang atau luar biasa bagi warna alam semulajadi. Ia melambangkan raja, bangsawan, kerohanian, dan misteri. Ungu mengandungi keseimbangan unsur merah yang merangsang dan biru yang menenangkan. Kesan sesetengah tona ungu mungkin agak keterlaluan, tetapi penggunaan tona seperti pastel lavender untuk sebuah bilik boleh memberi rasa segar dan ‘terangkat’. Dengan unsur raja dan mistik, ungu menggambarkan ciri kemewahan dan kekayaan. Warna ini juga boleh membantu minda dalam menyelesaikan masalah. Selain itu, ungu turut menjadi warna kegemaran bagi kebanyakan remaja perempuan.
MERAH JAMBU dikaitkan dengan keremajaan, dan keseronokan. Merah jambu ialah warna kegembiraan, ceria, dan adakalanya seperti ‘bebas daripada sebarang masalah’. Ia dibayangkan sebagai warna romatik, dan rasa kelembutan. Warna merah jampu juga ialah warna yang tepat untuk cinta.
JINGGA, yang terhampir dengan merah, ialah warna berkait rapat dengan masa seronok, suka ria dan hari-hari yang bertenaga. Ia juga dikaitkan dengan keinginan. Kebiasaannya, berbanding warna-warna lain, terdapat kesan positif dan juga negatif yang kuat pada warna jingga, di mana warna jingga asli secara umumnya akan melahirkan rasa ‘sangat suka’ atau ‘sangat benci’ pada seseorang. Warna tersebut mampu memberi kesan yang baik pada tema kontemporari, tetapi bukannya pada tema tradisional. Pemilihannya untuk ruang dapur dan ruang makan boleh mewujudkan rasa yang lebih selesa.
COKLAT menyatakan kestabilan, kebolehpercayaan, setiakawan, dan senang didekati. Coklat ialah warna bumi (tanah) dan dikaitkan dengan semua unsur semulajadi dan organik. Ia juga mampu memberi suasana nyaman dan selesa. Coklat sesuai digunakan untuk ruang-ruang yang kerap menjadi tumpuan seperti ruang tamu. Coklat juga boleh dipadankan dengan warga ‘garang’ atau warna ‘hangat’.
HITAM adalah persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri, dan mewah. Ia juga warna untuk kebijaksanaan, selain menunjukkan stail dan ‘tak lekang dek zaman’, dan satu warna penegasan yang cantik untuk hiasan dalaman. Hitam menonjolkan ciri ‘serius’ yang dapat membangkitkan emosi yang kuat. Ia mudah mengganggu sekiranya terlalu banyak warna hitam. Kecerahan hasil gabungan hitam dan putih lazimnya memperlihatkan ciri sangat moden.
PUTIH, walaubagaimana pun, menzahirkan ketulenan dan kesucian. Ia adalah gabungan semua warna yang ada di dalam spektrum warna. Ia juga digunakan untuk menghasilkan kesan ‘tanpa warna’, atau neutral.
KELABU ialah warna bagi intelek, berpengetahuan, dan bijaksana. Ia diertikan sebagai tahan lama, klasik, dan selalu juga sebagai licin atau halus. Ia juga lebih bersifat konservatif dan membawa maksud berkuasa. Kelabu juga dianggap sebagai warna yang boleh bertolak ansur, mungkin kerana kedudukannya di antara hitam dan putih. Kelabu adalah warna neutral yang sempurna, di mana para pereka selalu menggunakannya sebagai warna bagi latar belakang. Sedikit sentuhan warna kelabu berguna untuk mendapatkan mood yang mantap, tetapi, terlalu banyak warna kelabu, hanya akan menimbulkan rasa ‘kosong’.
Anda mungkin juga meminati:     

Tiada ulasan: