Rabu, 15 Februari 2012


As-Salam.
Buat si dara, paling dirisaukan ialah terjebak dalam kancah percintaan dengan suami orang. Yelah, suami orang ini kadangkala penangannya lebih hebat daripada si teruna. Banyak wanita yang sering diperdaya oleh lelaki bergelar sang suami orang lain ini.

Si dara takkan mengetahui, kerana liciknya lelaki bergelar suami orang menyimpan rahsia dan menutup status mereka. Sekali pandang, memang nampak macam sudah berpunya tetapi dek kerana si lelaki ini punyai kelebihan tertentu, si dara acapkali terlupa dan diperdaya.

Bagaimana nak kenal personaliti si pecinta seorang lelaki berstatus suami orang? Di sini HH kongsikan kepada anda, terutama anak-anak dara untuk kenal secara am tentang 'rupa' lelaki yang sudah ada isteri ini. Bukan apa, bagi elakkan diri terjebak dengan percintaan yang kontroversi, percintaan dengan suami orang lain.

5 Sifat Mengenali Si Dia Suami Orang

1. Penuh Kasih Sayang
Lelaki yang sudah berkahwin penuh dengan sifat kasih sayang. Mereka tahu untuk menunjukkan rasa kasih mereka dengan perbuatan mereka. Lelaki berstatus suami orang tidak lokek untuk mempamerkan sifat kasih sayang ini kerana mereka tahu si anak dara begitu mendambakan akan karektor ini. Boleh dikatakan saban hari anda akan dimanjai dengan kata-kata manisnya yang mampu membuatkan anda terbuai syahdu. Panggilan manja dan belaian kata adalah senjata mereka.

2. Prihatin
Jika anda tiba-tiba jatuh sakit, siapakah orang pertama yang akan menerkam ke arah anda terlebih dahulu? Sudah tentu kekasih hati anda bukan? Sekiranya anda meneliti dari sudut yang lain, anda sudah boleh mengagaknya. Cara mereka mengambil berat seperti anda itu budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Layanan si dia terhadap anda itu sungguh luar biasa, tidak seperti sang teruna yang agak kekok. Sebenarnya si dia mahu anda tahu bahawa dialah orang yang paling takut dan risau jika anda jatuh sakit. Cara ini akan membuatkan anda rasa dihargai.

3. Bermulut Manis
Lelaki yang dah kahwin memang bijak bermain kata. Mereka tahu untuk melembutkan hati si gadis dengan ayat-ayat romantis dan penuh gula. Sekeras mana hati si dara, pasti lelaki yang dah berstatus suami ini boleh lembutkan, bak kata pepatah, “kerak nasi kalau direndam dengan air lama-lama akan menjadi lembut juga” maka samalah perumpamaan itu dengan si gadis cantik. Lelaki ini akan menyuntik kata-kata cinta setiap hari, dan anda akan terbuai dengan kata-kata cinta lelaki ini kerana mereka sangat arif akan apa yang dimahukan oleh seorang gadis. Mereka tahu menunjukkan penghargaan dengan kata-kata mereka.

4. Suka Berjenaka
Ha! Ini satu lagi sifat yang ada pada suami orang. Anda harus tahu tentang ini! Suami orang paling suka bila mana orang di sekelilingnya ketawa. Bagi mereka, dengan ketawa akan membuatkan orang yang berada di samping mereka berasa senang. Mereka mengetahui bahawa antara sifat yang digemari oleh gadis ialah lelaki yang pandai berjenaka. Anda akan terpesona dengan jenaka bersahajanya yang membuatkan hati anda sentiasa gembira dan terlepas dari sengsara masalah.

5. Bertemu Kerap Di Hari Bekerja
Hujung minggu selalunya masa untuk si suami orang ini bersama keluarga, jadi masa yang diluangkan untuk anda adalah di hari biasa. Anda dan dia kerap bertemu selepas kerja atau kalau ada pun bertemu di hari cuti, ia tidaklah begitu kerap. Anda akan dapati, di hari cuti, si lelaki yang berstatus suami ini akan sering outstation atau ada urusan lain yang tidak memungkinkan anda bertemu. Malah, kadangkala mereka sukar untuk dihubungi.


Jadi, awas ehh .. jangan menjebakkan diri dalam percintaan dengan suami orang. Sila baca juga entri berikut: Bukan Mudah Nak Berpoligami

Ada ramai lelaki bujang ... tak kesian ke dengan mereka? Hehehehe....

Tiada ulasan: