Hernia
Pengenalan
Hernia atau dalam bahasa Latinnya,
herniae, membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu
rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Dinding
abdomen yang lemah itu kemudiannya membentuk suatu kantong dengan bukaan
berbentuk seperti cincin. Gangguan ini sering terjadi di kawasan perut
dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman perut seperti usus
kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus
ini.
Hernia merupakan gangguan kesihatan yang
umumnya dideritai oleh kaum Adam – sehingga 10 kali ganda berbanding
wanita. Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih sinonim sebagai angin
pasang, burut, uluran, bodek atau turun beruk.
Benjolan pada abdomen akan mengganggu
penderitanya bergantung kepada besar benjolan. Biasanya, keadaan
penyakit akan bertambah parah akibat daripada aktiviti-aktiviti seperti
membuang air besar, batuk ataupun ketika mengangkat bebanan yang berat
yang memberikan tekanan pada rongga abdomen yang lemah seperti pada
daerah trigonom hekselba, femoralis, dan anulus internus.
Hernia bukanlah penyakit turunan. Proses
terjadinya Hernia pada bayi berbeza dengan Hernia pada orang dewasa yang
biasanya terjadi kerana kelemahan otot dinding perut. Bagi orang
dewasa, Hernia terjadi karena dua faktor utama.
Pertama, adanya otot dinding rongga,
misalnya perut, yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di
dalam rongga perut meningkat. Biasanya, Hernia pada orang dewasa terjadi
pada usia lanjut, kerana pada usia tersebut, otot dinding rongga perut
melemah.
Sejajar dengan bertambahnya umur, organ
dan jaringan tubuh mengalami proses degenerasi. Bagi wanita, kegemukan
juga dapat memungkinkan timbulnya daerah yang lemah. Keadaan-keadaan
itu, jika ditambah dengan faktor kedua tadi, dapat mengakibatkan usus
terdorong ke dalam "daerah perbatasan" yang lemah tersebut dan menonjol
ke luar.
Secara Umum Ada Dua Jenis Hernia, Iaitu Internal Dan Eksternal.
Internal Hernia :
Berada dalam tubuh
dan tidak boleh dilihat secara mata kasar. Contoh bagi Hernia jenis ini
ialah Diafragmatic Hernia yang terjadi akibat adanya celah di diafragma
(otot pemisah antara bahagian perut dengan dada) kerana pembentukan
diafragma yang tidak sempurna. Contoh lainnya adalah Hiatal Hernia
esofagus, terjadi melalui celah masuknya esofagus yang masuk dari rongga
dada, serta banyak lagi jenis lainnya.
External Hernia :
Dari jenis hernia ini
yang paling sering dijumpai adalah Hernia Inquinal yang muncul di lipat
paha dan Umbilical Hernia yang muncul di daerah pusat. Bayi umumnya
mengalami External Hernia yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Siapa Yang Berisiko
Golongan obes berisiko tinggi mendapat
penyakit Abdominal Hernia dan Inquinal Hernia selain Umbilical Hernia.
Inquinal Hernia atau pasang surut adalah paling diperkatakan di negara
ini, dengan ramai masih tidak biasa dengan Hernia Umbilical yang
menyerang Aishah Rose, wanita obes yang ceritanya pernah disiarkan di
media massa sebelum ini.
Hernia Umbilical berlaku apabila
kandungan isi perut, iaitu usus dan Omentum, membentuk satu bonjolan
atau dikenali Hernia Sac (Sarang Hernia) di kawasan pusat di mana ada
kelemahan sokongan dinding Fasia Rektus perut. Biasanya penyakit ini
menyerang bayi baru dilahirkan disebabkan oleh Cincin Umbilical, iaitu
tempat salur darah Umbilical membekal makanan untuk fetus yang membesar
di dalam rahim, tertutup dan tidak sempurna.
Kadar Hernia Umbilical pada bayi baru
lahir adalah setinggi 20 peratus dan melonjak 70 peratus pada bayi yang
lahir tidak cukup bulan dan pada kebiasaannya tidak terbabit dengan
penyakit lain. Hernia jenis ini biasanya kelihatan seperti bonjolan
kecil pada bawah kulit pusat yang akan tertonjol keluar apabila perut
bayi ditekan atau ketika bayi menangis. Bergantung pada saiz, Hernia ini
biasa sekecil satu sentimeter (cm) dan ada yang melebihi lima cm.
Hernia sekecil satu sm biasanya akan tertutup sendiri tanpa perlu rawatan pada usia tidak lebih empat empat tahun.
Hernia Umbilical kebiasaannya tidak
mendatangkan masalah atau kesakitan tetapi kadangkala ia boleh
menyebabkan kesakitan, terutama pada Hernia bersaiz besar menyebabkan
kandungan perut, iaitu usus berbelit atau tercekik pada Cincin Sarang
Hernia. Jika itu berlaku, pembedahan segera diperlukan. Antara faktor
risiko kejadian Hernia Umbilical pada orang dewasa wanita adalah wanita
yang beranak ramai, keterlaluan gemuk dan mereka yang menghidap penyakit
Cirrhosis hati, Ascites dan penyakit paru-paru seperti lelah.
Tahap-tahap Hernia:
Reponible:
Benjolan di daerah
lipat paha atau umbilikus tampak keluar masuk (kadang-kadang terlihat
menonjol, kadang-kadang tidak). Benjolan ini membezakan Hernia dari
tumor yang umumnya tidak berubah-ubah. Ini adalah tanda yang paling
sederhana dan ringan yang boleh dilihat dari External Hernia.
Irreponible:
Benjolan yang ada
tidak bergerak atau berada dalam satu kedudukan sahaja, baik di lipat
paha maupun di daerah pusat. Pada Inguinal Hernia misalnya, air, usus
atau omentum (penggantungan usus) masuk ke dalam rongga yang terbuka
kemudian tersepit dan tidak boleh keluar lagi.
Incarcerata:
Pada peringkat ini, sumbatan pada saluran makanan sudah terjadi di bahagian benjolan.
Strangulata:
Hernia pada
peringkat ini dilihat berada di dalam situasi parah dengan pembuluh
darah yang sudah tersepit. Selain benjolan dan gejala-gelaja seperti
mual dan muntah, tidak lalu makan, perut kembung dan tidak boleh buang
air besar, gejala lain juga muncul, seperti demam dan dehidrasi. Jika
tidak diambil langkah sewajarnya, pembuluh darah di daerah tersebut akan
mati dan akan terjadi penimbunan racun yang kemudian akan menyebar ke
pembuluh darah. Akibatnya, terjadi sepsis iaitu kuman dan toksin
berkumpul di dalam darah sekaligus mengancam nyawa.
Ada kalanya, usus yang tersumbat di dalam
rongga boleh mengalami gangren apabila bekalan darah berkurangan dan
tiada bekalan oksigen. Ia boleh berlaku hanya dalam masa beberapa jam.
Apabila usus mengalami gangren, ia boleh reput dan boleh membahayakan
pesakit. Pesakit biasanya datang dengan gejala perut buncit dan kembung,
bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan, kulit bahagian terbabit
juga kemerah-merahan dan sakit, selain muntah-muntah. Dalam keadaan
ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang
mengalami gangren. Usus yang tertinggal akan disambung semula. Jika
pesakit datang ke hospital pada masa yang awal, besar kemungkinan usus
tersepit boleh dipulangkan ke tempat asal dalam perut tanpa
mengeluarkannya.
Terdapat dua kaedah pembedahan untuk
merawat Hernia dengan yang bersaiz kecil di bawah lima sm, torehan kecil
dibuat di bawah pusat dan Sarang Hernia dibuang dan ditutup dengan
beberapa jahitan di kawasan Linea Alba mengunakan benang yang tidak
reput. Bagi Hernia bersaiz besar, mesh’ (jaringan) diperlukan dan ia
akan diletak di bawah kawasan lubang Hernia sebelum ditutup dengan
jahitan. Pembedahan ini dilakukan dengan pesakit dibius keseluruhan dan
proses pemulihan berlaku dengan cepat, membolehkan melakukan aktiviti
normal selepas dua minggu.
Selain pembedahan konvensional, kini
terdapat terapi yang tidak invasif tanpa memerlukan torehan yang besar
menggunakan teknik laparoskopik. Sebanyak tiga torehan kecil sepanjang
antara lima hingga 10 milimeter akan dilakukan. Oleh kerana itu, rawatan
ini memerlukan kepakaran yang amat tinggi. Luka yang kecil ini juga
memungkinkan penyembuhan yang lebih cepat. Paling penting, risiko hernia
berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik
berbanding pembedahan konvensional.
Kelebihan pembedahan laparoskopik,
pesakit mengalami kesakitan yang amat kurang manakala risiko jangkitan
kuman juga rendah. Pesakit juga sudah boleh bergerak dari katil dalam
tempoh beberapa jam selepas pembedahan dan kembali melakukan rutin
harian lebih cepat. Pesakit Hernia yang selamat dibedah boleh mengalami
kes berulang dalam masa beberapa bulan ke setahun.
Bagaimanapun, apabila Hernia berulang
setelah dua tahun atau lebih, kelemahan yang berlaku mungkin telah
berkembang kepada Incarcerata atau tercekik.
Untuk mencegahnya daripada berulang,
pesakit perlu menghindari perkara-perkara yang dapat meningkatkan
tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, berhenti merokok dan jika sukar
membuang air, segera berubat dan elakkan meneran selain melakukan
kerja-kerja yang lebih ringan dan menurunkan berat badan.
Jangan mengurut Hernia kerana ia adalah
sangat berbahaya. Tekanan ke atas Hernia boleh menyebabkan organ-organ
berkenaan pecah, boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut.