Selasa, 6 Mac 2012

ISU SEMASA: Hal Ehwal Kewangan

Petua Pengurusan Kewangan Berkesan: Bagaimana Menyimpan Bil Dan Resit

by www.bharian.com.my

SEBAIK menerima bil setiap bulan, kita akan meletakkannya di mana-mana yang sempat, baik di atas meja, di atas TV mahupun di dalam kereta. Suatu kebiasaan yang memudaratkan di belakang hari kerana kemungkinan untuk bil berkenaan hilang adalah amat tinggi. Untuk mengelakkan kehilangan, penting untuk kita mempunyai sistem fail yang sistematik kerana ia juga membantu:
  1. Menjimatkan masa
    Pemfailan berkesan dapat menjimatkan masa mencari sesuatu bil yang kita perlukan. Misalnya, daripada membuang masa mencari secebis kertas segala ceruk, kita boleh terus merujuk kepada fail yang disimpan.

  2. Mengurangkan tekanan
    Sering kali perasaan marah dan kecewa akan timbul apabila barang yang dicari tidak dijumpai. Untuk mengelakkan rasa marah yang tidak perlu, maka kita perlu mempunyai sistem pemfailan sendiri.
Petua pemfailan berkesan
  1. Failkan bil dan resit sebaik saja anda menerimanya setiap bulan. Bertangguh menyimpan akan hanya menambah risiko kehilangan.

  2. Dapatkan fail terpakai ataupun sampul surat besar sebagai tempat menyimpan bil dan resit. Bahagikan fail berkenaan kepada tiga bahagian, iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Jika anda menggunakan sampul surat, pastikan anda mempunyai tiga sampul dan tuliskan setiap kategori di atasnya.
Bagaimana menggunakan fail?

Fail jangka masa pendek
Gunakan fail ini untuk menyimpan:
  1. Bil-bil yang belum dibayar seperti bil air, internet atau kredit kad.
  2. Resit pembelian hangus seperti ubat gigi, buah-buahan dan sebagainya.
  3. Penyata pengeluaran wang daripada ATM
Bertepatan dengan namanya fail jangka masa pendek, anda mempunyai dua pilihan sama ada membuang bil dan resit berkenaan atau memindahkannya ke fail jangka masa sederhana.

Antara yang boleh dibuang ialah:
  • Resit pembelian hangus
    Sebelum membuang resit berkenaan, pastikan anda sudah merekod segala perbelanjaan di dalam kategori yang sewajarnya. Sebagai contoh, ubat gigi direkodkan di dalam kategori "alat mandian" dan buah-buahan di dalam kateg

  • Penyata pengeluaran wang daripada ATM
    Buangkan penyata ini hanya selepas anda menerima dan menyemak penyata akaun bulanan daripada bank. Adalah penting untuk anda pastikan jumlah yang dikeluarkan sama dengan jumlah yang tercatat di dalam penyata akaun bulanan bank. Jika terdapat sebarang kekeliruan, segeralah berhubung dengan pihak bank untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Fail jangka masa sederhana
Seperti yang diterangkan tadi, fail ini boleh digunakan untuk menyimpan bil. Tetapi ingat! Pastikan anda hanya menyimpan bil yang sudah dibayar saja. Bil yang belum dibayar haruslah terus disimpan di dalam fail jangkamasa pendek. Contoh bil yang boleh disimpan di dalam fail ini ialah bil air, telefon, elektrik dan kredit kad
Anda dinasihatkan menyimpan bil berkenaan mengikut aturan bulanan untuk memudahkan rujukan jika wujud sebarang isu atau masalah kemudian hari. Menjelang akhir tahun, anda bolehlah membuang semua bil yang disimpan kecuali bil yang boleh membantu mengurangkan pembayaran cukai seperti bil pembelian buku. Di samping itu, anda juga digalakkan menyimpan bil untuk tiga bulan terakhir 2002 sekurang-kurangnya hingga Mac tahun hadapan sebagai rujukan jika berlaku kesangsian.

Fail jangka masa panjangFail ini digunakan untuk menyimpan resit pembelian yang membabitkan jumlah wang yang besar. Sebagai contoh, pastikan anda menyimpan resit jika anda membeli peti sejuk, set teater rumah mahupun tilam berjenama. Anda juga dinasihatkan menyimpan kad jaminan yang diperoleh dengan pembelian barangan. Untuk memudahkan pemfailan dan rujukan, anda boleh menyusun kad jaminan mengikut tarikh luput. Sekurang-kurangnya anda tahu bilakah tiba masanya untuk anda membuang kad jaminan berkenaan.
Antara dokumen lain yang boleh disimpan di dalam fail jangka masa panjang ialah resit ubah suai rumah. Ini penting untuk anda menentukan nilai rumah jika anda bercadang untuk menjualnya.
  • Rekod penama KWSP
    Sering kali masalah wujud apabila pencarum KWSP meninggal dunia. Untuk mengelakkan masalah dan mempercepatkan proses pembahagian caruman, anda digalakkan menyimpan rekod berkenaan kerana tiada siapa mengetahui apa yang bakal terjadi di masa depan.
  • Geran rumah dan/atau tanah
  • Pasport
Sekali imbas, penyimpanan bil dan resit secara sistematik adalah leceh dan rumit. Tetapi anda akan menghargai kepentingannya apabila anda selalu tercari-cari bil yang hilang. Di samping itu, sistem pemfailan juga dapat membantu anda sebagai pengguna andai kata barang yang dibeli mengalami kerosakan dan yang terpenting, ia memudahkan waris membuat tuntutan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, amalkan sistem pemfailan sistematik.

Artikel ini adalah sumbangan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), sebuah pertubuhan perakaunan profesional terbesar di dunia, meliputi 300,000 orang ahli dan pelajar di 160 buah negara. Keterangan lanjut www.accaglobal.com.
Sumber Dari : Berita Harian Online

Tiada ulasan: