Penyakit sendi dan tulang


ARTRITIS secara umumnya dikenali sebagai keradangan sendi yang mungkin boleh berlaku di mana-mana bahagian anggota tubuh.

Ia biasanya menyerang bahagian sendi termasuklah jari, pergelangan tangan atau kaki, siku, leher dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis keradangan tetapi yang biasa adalah:

Osteoporisis

Ia merupakan keradangan yang disebabkan oleh kekurangan fungsi rawan yang berperanan sebagai pelapik yang menyokong lutut dan punggung.

Apabila rawan menjadi semakin haus dan nipis, pergerakan yang berterusan menyebabkan terjadinya pembengkakan dan kesakitan. Kekerapan serangan seperti kebas lebih cenderung berlaku pada waktu awal pagi.

Bahagian yang paling berisiko adalah bahagian yang memikul berat bebanan seperti tangan, lutut, punggung dan lain-lain.

Artritis reumatoid

Ia merupakan artritis yang menyerang membran sonovial yang mengelilingi cecair pelincir dalam sendi.

Faktor risiko bagi artritis reumatoid selalunya berkaitan dengan tekanan emosi, fizikal, cara pemakanan yang tidak baik ataupun jangkitan bakteria.

Keadaan ini menyebabkan terjadinya demam, keletihan, kelemahan sistem pertahanan badan, enemia dan permasalahan lain termasuk kesakitan sendi.

Peratusan pesakit wanita lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah 3:1, bagi yang berumur 20 hingga 40 tahun.

Gout

Gout disebabkan oleh kandungan asid urik yang tinggi di dalam darah.

Kepekatan asid urik yang tinggi menyebabkan terbentuknya kristal yang terkumpul di bahagian sendi.

Kaum lelaki biasanya lebih berisiko berbanding dengan wanita. Serangan gout biasanya datang menyerang tanpa sebarang tanda.

Walaupun kejadian artritis selalu dikaitkan dengan peningkatan usia, namun ia boleh terjadi di semua peringkat umur.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada artritis seperti faktor umur, jantina, gaya hidup, kegemukan dan lain-lain.

Pengambilan makanan tambahan didapati berkesan dalam membantu menangani masalah artritis.

Pengambilan kombinasi kalsium, mangan, zink dan vitamin D3 memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang.

Kekurangan mineral dan vitamin D3 mengancam pertumbuhan tulang serta meningkatnya risiko terjadinya osteoporosis.

Kombinasi beta-kerotin, vitamin C, E dan zink dapat mencegahnya daripada menjadi serius. Ini kerana ia dapat meneutralkan dan membaiki kerosakan dan mengekang kerosakan rawan.

Asid lemak yang mengandungi minyak omega seperti Omega 3 dan Omega 6 didapati dapat meningkatkan pengeluaran prostaglandin yang mampu mengurangkan keradangan kerana ia boleh bertindak sebagai agen antiradang yang berkesan bagi melegakan simptom penyakit artritis.

Penggunaan herba terutamanya yang mempunyai kandungan biji saderi yang tinggi bermanfaat dalam rawatan masalah sakit sendi yang kronik dan masalah keradangan yang lain.

Biji benih saderi berupaya meneutralkan asid urik dan asid lain yang berlebihan dalam badan. Kombinasi Guaiacum halia, dan capsicum juga membantu untuk mengurangkan kesakitan sendi dan otot-otot.

Pengamalan gaya hidup sihat adalah amat digalakkan, seperti senaman yang dapat menguatkan tulang.

Penjagaan berat badan juga penting kerana berat yang berlebihan akan memberi bebanan yang berlebihan kepada otot dan sendi. Urutan tradisi dan Bowen Therapi juga membantu merawat masalah artritis.