Boleh dikatakan semua orang mahukan rezeki yang banyak, mudah dan
berkat. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa
tanamkan niat dalam hati supaya Allah mengurniakan kita rezeki halal,
berkat, mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi
sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya
dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan
buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk
yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat
hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku
akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup
kefakiranmu.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Rasulullah SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan
segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya
rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Rasulullah SAW :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah SWT
Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang
ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada
ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk
tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Hadis Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan,
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan
tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Rasulullah SAW bersabda :
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy,
yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar
nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan
doanya dimakbulkan Allah.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah
dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku
cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)
Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah ali-Imran, ayat 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca
secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh
menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya
dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah,
bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan
keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.
Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah
mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)
Nabi SAW bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=34105543benar
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia
pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada
takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara
yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.”
(Surah at-Talaq, ayat 2-3)
---Petikan dari kiriman email.---